IMAM MUDA

Kita biasanya dengar lagu mengikut mood. Kalau sedang bercinta dan berbunga-bunga, kita akan mendengar lagu jiwang dan mendayu-dayu, yang membuatkan kita hanyut dalam lagu tersebut. Bagi orang yang putus cinta pula, lagu-lagu sedih menjadi pilihan. Sambil air mata bergelinangan, setiap bait lagu sedih tersebut dihayati dan ada orang yang sanggu membunuh diri. Itu keji.

Masa aku kecik dulu, mak aku belikan kaset Raihan, album Puji-Pujian. Raihan waktu itu boleh dikatakan fenomena. Dari brader rockers sampailah makcik-makcik yang berniaga kat pasar, lagu-lagu nasyid kumpulan Raihan menjadi siulan.

Pengaruh Raihan sangat kuat sehinggakan pertandingan nasyid di sekolah, semua orang nak nyanyi lagu Raihan termasuklah budak-budak perempuan. Kumpulan nasyid perempuan masa zaman tu tak berapa nak ada, nak tak nak lagu Raihan menjadi pilihan mereka ini.

Raihan juga secara tak langsung mempengaruhi kehidupan aku sehari-hari pada masa tersebut. Masakan tidak, sambil bermain bola sepak dengan hanya memakai seluar pendek dan tidak berbaju, aku tenang menyanyikan lagu Iman Mutiara ketika menunggu bola sampai ke kaki aku. Begitu berimannya aku ketika bermain bola sepak di waktu itu.

Seingat aku, zaman Raihan dulu aku masih belum mumayyiz. Jadi sangat sesuai lah lagu-lagu bercorak rohani dengan jiwa aku yang innocent pada masa tu. Nampaknya jiwa aku yang innocent dan suci pada zaman tersebut masih terbawa-bawa sehingga kini. Walaupun dari luar aku seperti Hans Isaac, tapi jauh disudut hati, aku masih seperti Nazrey Johani. Jadi tak hairanlah di kalangan rakan-rakan, aku dipanggil Imam Muda Zaki.

BAWANG

Baru-baru ni, harga bawang putih dengan bawang merah kat Jakarta naik dengan mendadak. Secara tak langsung harga makanan yang dimasak dengan bawang juga meningkat. Nasi padang yang menjadi menu makanan tengahari aku setiap hari juga sudah naik.

Isu kenaikan harga bawang ini juga dah disuarakan pada pihak pemberi biasiswa yakni JPA. Dan seperti biasa kami diyakinkan oleh pakcik JPA bahawa kadar elaun kami akan dikaji. Begitu power efek bawang ni sampai elaun pon boleh dikaji untuk dinaikkan. Apa yang mereka nak kaji, mungkin kita boleh tunggu tahun depan. Kalau tak tahun depan, kita tunggu sahaja sampai harga bawang turun semula supaya kadar elaun tidak perlu dikaji lagi.

Isu harga bawang ni jugak sedikit sebanyak telah merencatkan azam baru aku untuk memasak. Yelah, nak memasak makanan yang menggunakan bawang, sudah tentu akan menggunakan kos yang banyak. Jadi mungkin ada sedikit konspirasi oleh pihak-pihak tertentu untuk menghalang aku daripada memasak dan dipuji kesedapan masakan aku oleh rakan-rakan. Pihak-pihak yang dengki ini lah yang mungkin menghasut peniaga untuk menaikkan harga bawang di Jakarta.

Niat di hati untuk menjamu rakan-rakan dengan hasil masakan aku tidak kesampaian. Mungkin apabila isu harga bawang ini sudah selesai kelak, aku akan meneruskan niat murni aku ini. Tapi aku risau, apabila harga bawang sudah kembali normal, skil memasak aku automatik hilang. Jadi, doakan agar harga bawang terus tinggi supaya skil memasak aku tetap hebat.