MENJILAT SAMPAI PUAS

Sekarang heboh isu minyak petrol naik. Sebagai warganegara yang acah-acah patriotik, aku turut tidak terkecuali berkata tentang isu ini. Mereka yang tak kisah dengan harga kenaikan minyak ini mungkin tak pernah merasai betapa banyak wang yang harus digunakan untuk mengisi sebuah kereta itu. Ditambah pula dengan perjalanan di highway yang kita seboleh-bolehnya menekan minyak sehingga mencecah 350km/j , sudah pasti jumlah minyak yang dipakai juga banyak. Belum lagi ditambah dengan harga tol yang perlu dibayar :')

Jadi agak menghairankan apabila sesetengah orang tidak marah dengan kenaikan harga minyak ini. Mungkin juga mereka dari golongan bangsawan dan berada. Mungkin juga mereka tidak pernah merasai memandu jauh dan mengisi minyak sendiri sehingga mereka mengambil mudah perkara ini. Mudah untuk berkata-kata sehinggalah anda merasai sendiri. Public transport ? Seberapa efisien sangatkah public transport di Malaysia sehingga kita boleh bergantung kepadanya ?

Ramai juga tak berpuasa hati dengan golongan-golongan menteri dan bangsawan lain yang begitu bermewah-mewah tatkala rakyat marhaen hidup dalam keadaan tersepit. Situasi sebegini dapat aku lihat sendiri di Jakarta ini. Disini menteri-menteri sering datang dan kebiasaannya sambutan untuk mereka agak mewah. Tidak sah kalau dinner rasmi tidak diadakan di hotel-hotel mewah dan berstatus 5 bintang. Tidak ada sedikitkah rasa bersalah dalam diri menteri-menteri ini dengan kemewahan yang sebegitu sedangkan kebanyakan pelajar Malaysia di Indonesia ini sejak dari dulu mengeluh dengan kadar elaun yang cukup-cukup makan sahaja.

Tidak semua pelajar merasai begini kerana segelintir pelajar ini dihidangkan dengan kemewahan yang dirasai oleh pak menteri. Mereka yang berstatus elit ini hanya perlu melayani pak menteri dengan baik dan mereka akan turut mendapat kelebihan ini. Seperti anjing yang diberi makan, lambat laun akan menurut apa sahaja perintah tuan yang memberi makan. Isu disini bukanlah dengki atau sebagainya, tetapi isu bagaimana kemewahan dan pembaziran yang dilakukan oleh pegawai-pegawai yang datang tatkala rakyat dihadapkan dengan isu kenaikan harga minyak, barang dan kos hidup sehari-hari.

Lihatlah dengan mata burung dan bukannya dari bawah tempurung. Adilkah apabila para pelajar dan rakyat berjimat cermat tapi dalam masa yang sama pembaziran dan kemewahan yang melampau digunakan sewenang-wenangnya. Usahlah menjadi pak turut apabila sudah diberi pelbagai kemewahan. Anda begitu bangga dengan status dan jawatan anda tapi dalam masa yang sama rakan- rakan anda hidup cukup makan. Kalau hidup hanya untuk menjilat untuk mendapatkan ganjaran dan kemewahan, apalah beza dengan anjing yang kadangkala kesetiannya lebih ikhlas dan tidak bermuka-muka.

FALSAFAH SANG PICISAN

Di sebuah dunia yang lain, dimana manusia bebas pergi kemana sahaja yang mereka suka. Bebas keluar masuk ke negara yang mereka suka tanpa perlu membeli tiket pesawat dan membawa pasport. Waktu yang diperlukan untuk sampai ke Brazil dari Malaysia hanya memerlukan waktu 3 saat. Dunia tersebut diberi nama internet.

Didalam dunia internet, terdapat sebuah negeri yang penuh dengan kepalsuan. Rakyatnya di alam realiti penuh dengan kejelikan tetapi sejurus masuk ke dunia ini, mereka semua menjadi cantik dan kacak semuanya. Muka yang penuh noda di alam realiti, bisa dihilangkan di dalam negeri ini. Itulah hakikat negeri tersebut, Instagram.

Kahkah. Intro nak berkias-kias pehal ? Semenjak dua menjak ni, Instagram makin popular dikalangan pengguna telefon pintar. Masakan tidak, makcik aku juga tidak terkecuali dalam menceburi bidang Instagram ini apabila akaun Instagram nya dipenuhi dengan gambar Tupperware dan lauk masakannya. Kepada sesiapa yang tak mengetahui apa itu Instagram, pandai- pandai lah anda nak hidup.

Aku juga tak terkecuali dalam dunia Instagram ini. Alhamdulillah setakat ini tiada lagi wajah aku sambil memuncungkan bibir sambil membuat lambang peace dengan caption yang diambil dari kata-kata tokoh yang dianggap berfalsafah. Instagram ini bagus sebenarnya. Anda boleh lihat foto- foto yang berkualiti dari pelbagai lapisan unat manusia.  

Bagi aku yang suka singa, boleh double tap gambar singa yang diambil oleh jurukamera National Geographic yang tidak mungkin boleh diambil oleh orang lain. Instagram juga boleh menjadikan seseorang itu popular. Populariti di Instagram boleh dilihat dari jumlah follower dan berapa like yang anda dapat. Apa yang aku perhatikan, anda akan menjadi popular secara automatik apabila menepati ciri- ciri berikut.

1) Artis. Golongan artis tidak disangkal lagi mempunyai ramai peminat. Bonus sekiranya artis tersebut cantik dan comel.  Akan beribu-ribu like yang akan beliau dapat hatta beliau meletakkan gambar kuih karipap sekalipun.

2) Seksi. Orang yang seksi juga mempunyai follower yang ramai. Mujur aku tidak tergolong dalam golongan follower mereka ini. Gila nak follow orang seksi ? Tercemar lah imej baik aku nanti. Tak follow tak bermakna tak mengikuti perkembangan. Ehe.

3) Kucing. Sekiranya anda tidak mempunyai pakej cantik dan seksi tapi berkeinginan untuk mendapat follower yang ramai, sila dapatkan seekor kucing yang comel dan letakkan gambar kucing tersebut di akaun anda. Nescaya anda akan popular. Oh silap, kucing anda akan popular.

4) Baby. Kalau anda hodoh tetapi anda dah berkahwin dan mempunyai anak yang comel dan tidak mengikut rupa anda, anda juga berpotensi untuk jadi comel. Tapi pastikan anda tidak meletak gambar anda. Takut- takut orang mengatakan anak anda anak angkat kerana tiada ciri-ciri hodoh anda.

5) Cantik. Kalau anda bukan artis tetapi wajah anda cantik dan kacak, anda juga boleh menjadi popular di Instagram. Oh ya, kalau anda hendak follow golongan ini, perlu diingat bahawa 546 gambar mereka adalah muka mereka sendiri. Ye lah dah cantik buat apa nak letak gambar lain ye tak ?

Itu adalah apa yang aku perhatikan di dunia Instagram. Adakah anda salah satu golongan diatas ? Atau anda hanyalah mereka yang acah-acah deep tetapi gambar hanya dipenuhi gambar makanan. Renung-renungkanlah...

LIBUR

Musim cuti bermula bagi anak-anak Malaysia di sebuah universitas di Jakarta. Seperti biasa, cuti yang boleh tahan lama dimanfaatkan untuk pulang bertemu kekasih hati di Malaysia.

Alkisah sebelum cuti bermula, pelbagai suka dan duka yang terjadi. Lumrah hidup, aku tenang menghadapinya. Jakarta menyaksikan pelbagai ragam manusia. Ada yang jatuh cinta, ada yang terpisah, ada yang semakin gagah dan ada yang rebah.

Sebenarnya aku acah- acah puitis je ni. Dah lama tak menulis. Kena asah skil semula. Oh ya. Selamat berpuasa ! 

KEMBALI

Hidup ni tak lama. Sampai bila mahu buat dosa ? Kembalilah kepadaNya.


p/s - Rahmat Allah itu luas.

IMAM MUDA

Kita biasanya dengar lagu mengikut mood. Kalau sedang bercinta dan berbunga-bunga, kita akan mendengar lagu jiwang dan mendayu-dayu, yang membuatkan kita hanyut dalam lagu tersebut. Bagi orang yang putus cinta pula, lagu-lagu sedih menjadi pilihan. Sambil air mata bergelinangan, setiap bait lagu sedih tersebut dihayati dan ada orang yang sanggu membunuh diri. Itu keji.

Masa aku kecik dulu, mak aku belikan kaset Raihan, album Puji-Pujian. Raihan waktu itu boleh dikatakan fenomena. Dari brader rockers sampailah makcik-makcik yang berniaga kat pasar, lagu-lagu nasyid kumpulan Raihan menjadi siulan.

Pengaruh Raihan sangat kuat sehinggakan pertandingan nasyid di sekolah, semua orang nak nyanyi lagu Raihan termasuklah budak-budak perempuan. Kumpulan nasyid perempuan masa zaman tu tak berapa nak ada, nak tak nak lagu Raihan menjadi pilihan mereka ini.

Raihan juga secara tak langsung mempengaruhi kehidupan aku sehari-hari pada masa tersebut. Masakan tidak, sambil bermain bola sepak dengan hanya memakai seluar pendek dan tidak berbaju, aku tenang menyanyikan lagu Iman Mutiara ketika menunggu bola sampai ke kaki aku. Begitu berimannya aku ketika bermain bola sepak di waktu itu.

Seingat aku, zaman Raihan dulu aku masih belum mumayyiz. Jadi sangat sesuai lah lagu-lagu bercorak rohani dengan jiwa aku yang innocent pada masa tu. Nampaknya jiwa aku yang innocent dan suci pada zaman tersebut masih terbawa-bawa sehingga kini. Walaupun dari luar aku seperti Hans Isaac, tapi jauh disudut hati, aku masih seperti Nazrey Johani. Jadi tak hairanlah di kalangan rakan-rakan, aku dipanggil Imam Muda Zaki.

BAWANG

Baru-baru ni, harga bawang putih dengan bawang merah kat Jakarta naik dengan mendadak. Secara tak langsung harga makanan yang dimasak dengan bawang juga meningkat. Nasi padang yang menjadi menu makanan tengahari aku setiap hari juga sudah naik.

Isu kenaikan harga bawang ini juga dah disuarakan pada pihak pemberi biasiswa yakni JPA. Dan seperti biasa kami diyakinkan oleh pakcik JPA bahawa kadar elaun kami akan dikaji. Begitu power efek bawang ni sampai elaun pon boleh dikaji untuk dinaikkan. Apa yang mereka nak kaji, mungkin kita boleh tunggu tahun depan. Kalau tak tahun depan, kita tunggu sahaja sampai harga bawang turun semula supaya kadar elaun tidak perlu dikaji lagi.

Isu harga bawang ni jugak sedikit sebanyak telah merencatkan azam baru aku untuk memasak. Yelah, nak memasak makanan yang menggunakan bawang, sudah tentu akan menggunakan kos yang banyak. Jadi mungkin ada sedikit konspirasi oleh pihak-pihak tertentu untuk menghalang aku daripada memasak dan dipuji kesedapan masakan aku oleh rakan-rakan. Pihak-pihak yang dengki ini lah yang mungkin menghasut peniaga untuk menaikkan harga bawang di Jakarta.

Niat di hati untuk menjamu rakan-rakan dengan hasil masakan aku tidak kesampaian. Mungkin apabila isu harga bawang ini sudah selesai kelak, aku akan meneruskan niat murni aku ini. Tapi aku risau, apabila harga bawang sudah kembali normal, skil memasak aku automatik hilang. Jadi, doakan agar harga bawang terus tinggi supaya skil memasak aku tetap hebat.

DISANA MENANTI DISINI MENUNGGU

Semalam aku pergi Malaysia Hall untuk makan-makan sempena perkahwinan tiga pasangan Malaysia yang belajar kat sini. Disebabkan dah lama tak pergi kenduri kahwin, aku pun pergi dengan niat untuk makan nasi briyani dan air sirap. Alhamdulillah kenyang dan aku tersenyum sendiri tatkala melihat betapa sweet nya pasangan pengantin yang umur pun lebih kurang aku.

Selesai makan, aku meminta izin tuan rumah untuk pulang dan kemudian menunggu teksi di luar. Setelah mennggu lebih kurang 7 minit, teksi pun datang. Aku dan beberapa orang teman naik, dan memberitahu arah tujuan kami. Didalam teksi, aku membuka radio. Tak sampai dua kilometer bergerak, kedengaran lagu Exist di corong radio.

" Ini lagunya dari radio atau pake CD mas ? tanya aku kepada mas teksi tersebut.

" Oh ini CD donk. " balas mas teksi.

" Kok lagu Malaysia semua ya ? " tanya aku lagi apabila lagu Slam dan Wings pula yang kedengaran selepas itu.

" Owh lagu Malaysia jaman 90-an itu bagus semua. Kalau didengar langsung menusuk ke hati. Saya itu kalau pulang ke rumah, sebelum tidur pasti saya putar lagu-lagu Malaysia "

Aku tersenyum bangga. Bukannya apa, bukan senang nak jumpa orang Indonesia yang memuji Malaysia. Kebanyakan orang Indonesia ni aku tak tahulah apa yang dorang dengki sangat dengan Malaysia. Semua benda yang berkaitan dengan Malaysia nampak buruk di mata mereka.

Perjalanan pulang berlangsung dengan aman dan tenang apabila lagu-lagu yang dimainkan semuanya lagu rock kapak belaka. Separuh perjalanan, lagu Disana Menanti Disini Menunggu dendangan Ukays kedengaran.

" Untuk pengetahuan mas, lagu ini cocok bangat sama saya " kata mas teksi kepada aku secara tiba-tiba.

Beliau menyambung lagi, " Dulu saya ada dua cewek. Satu di Jakarta, satu lagi di Surabaya. "

" Terus gimana mas ? " aku bertanya dengan penuh minat.

" Owh yang di Surabaya saya tinggalin. Soalnya jauh donk. Saya ambil yang dekat aja. Hehehe. " balas mas teksi dengan perasaan tak bersalah.

" Makanya, mas kalau ada dua orang cewek, ambil yang dekat aja. Gampang deyh. " sambung mas teksi lagi.

Didalam hati, aku menahan geram. Celaka, dia tak tahu ke aku ni setia pada yang satu ? Bermula detik itu sampai lah kerumah, aku mengambil keputusan untuk berdiam diri. Aku kecewa kesetiaan aku diremehkan.