MENJILAT SAMPAI PUAS

Sekarang heboh isu minyak petrol naik. Sebagai warganegara yang acah-acah patriotik, aku turut tidak terkecuali berkata tentang isu ini. Mereka yang tak kisah dengan harga kenaikan minyak ini mungkin tak pernah merasai betapa banyak wang yang harus digunakan untuk mengisi sebuah kereta itu. Ditambah pula dengan perjalanan di highway yang kita seboleh-bolehnya menekan minyak sehingga mencecah 350km/j , sudah pasti jumlah minyak yang dipakai juga banyak. Belum lagi ditambah dengan harga tol yang perlu dibayar :')

Jadi agak menghairankan apabila sesetengah orang tidak marah dengan kenaikan harga minyak ini. Mungkin juga mereka dari golongan bangsawan dan berada. Mungkin juga mereka tidak pernah merasai memandu jauh dan mengisi minyak sendiri sehingga mereka mengambil mudah perkara ini. Mudah untuk berkata-kata sehinggalah anda merasai sendiri. Public transport ? Seberapa efisien sangatkah public transport di Malaysia sehingga kita boleh bergantung kepadanya ?

Ramai juga tak berpuasa hati dengan golongan-golongan menteri dan bangsawan lain yang begitu bermewah-mewah tatkala rakyat marhaen hidup dalam keadaan tersepit. Situasi sebegini dapat aku lihat sendiri di Jakarta ini. Disini menteri-menteri sering datang dan kebiasaannya sambutan untuk mereka agak mewah. Tidak sah kalau dinner rasmi tidak diadakan di hotel-hotel mewah dan berstatus 5 bintang. Tidak ada sedikitkah rasa bersalah dalam diri menteri-menteri ini dengan kemewahan yang sebegitu sedangkan kebanyakan pelajar Malaysia di Indonesia ini sejak dari dulu mengeluh dengan kadar elaun yang cukup-cukup makan sahaja.

Tidak semua pelajar merasai begini kerana segelintir pelajar ini dihidangkan dengan kemewahan yang dirasai oleh pak menteri. Mereka yang berstatus elit ini hanya perlu melayani pak menteri dengan baik dan mereka akan turut mendapat kelebihan ini. Seperti anjing yang diberi makan, lambat laun akan menurut apa sahaja perintah tuan yang memberi makan. Isu disini bukanlah dengki atau sebagainya, tetapi isu bagaimana kemewahan dan pembaziran yang dilakukan oleh pegawai-pegawai yang datang tatkala rakyat dihadapkan dengan isu kenaikan harga minyak, barang dan kos hidup sehari-hari.

Lihatlah dengan mata burung dan bukannya dari bawah tempurung. Adilkah apabila para pelajar dan rakyat berjimat cermat tapi dalam masa yang sama pembaziran dan kemewahan yang melampau digunakan sewenang-wenangnya. Usahlah menjadi pak turut apabila sudah diberi pelbagai kemewahan. Anda begitu bangga dengan status dan jawatan anda tapi dalam masa yang sama rakan- rakan anda hidup cukup makan. Kalau hidup hanya untuk menjilat untuk mendapatkan ganjaran dan kemewahan, apalah beza dengan anjing yang kadangkala kesetiannya lebih ikhlas dan tidak bermuka-muka.