KHAMIS MALAM JUMAAT


Esok hari Jumaat. Jadi malam  ini merupakan malam Jumaat. Malam Jumaat biasanya malam yang menakutkan. Dalam dunia Melayu malam Jumaat merupakan hari perayaan bagi hantu-hantu untuk menyakat umat manusia. Malam Jumaat juga TV3 dan RTM akan menyiarkan cerita-cerita berkaitan hantu. Niyang Rapik, Penunggu Gunung Raya, Misteri Nusantara adalah contoh yang mudah. Aku pun tak faham apa kaitan malam Jumaat dengan hantu. 

Tapi bagi pemuda seperti aku malam Jumaat adalah malam yang best terutama di kawasan perumahan aku. Malam Jumaat di tempat aku biasanya akan ada majlis bacaan Yasin kat rumah-rumah jiran. Aku sebagai contoh tauladan kepada adik-adik sering pergi majlis tersebut bersama ayah aku. Dan yang paling best apabila selesai majlis bacaan Yasin tuan rumah akan menyediakan hidangan-hidangan yang sangat enak. Niat aku memang untuk sekadar membaca Yasin tetapi apakan daya orang cakap tak baik mengecewakan tuan rumah. Nak tak nak aku terpaksa menghabiskan juadah yang disediakan. Yelah. Tetamu yang lain semuanya berumur lingkungan 40-50 tahun. Nak makan banyak nanti kena darah tinggi. Jadi sebagai pemuda yang bertanggungjawab aku merasa terpanggil untuk menghabiskan juadah. Berkorban untuk pakcik-pakcik jiran tak mengapa. 

Selesai makanan berat maka akan bermulalah sesi umpat mengumpat antara pakcik-pakcik ini. Sambil tuan rumah memanaskan air untuk membuat air teh pakcik-pakcik ini mula membakar rokok berjenama Gudang Garam satu persatu. Biar ketayap di kepala asalkan segala cerita yang terbuku didalam hati dilepaskan. Dari cerita Man Baung pergi memancing tak berajak sehinggalah kepada cerita Tok Mail punya nasi lemak semakin hari semakin kurang kuantiti sambalnya semuanya dibahaskan dengan satu persatu. Habis sebatang rokok di sambung lagi dengan rokok yang seterusnya. Sambil minum air teh tarik yang kaw memang malam tersebut sangat rancak dengan pelbagai perbualan seperti di kedai mamak lagaknya. 

Jam sudah menunjukkan pukul 2 pagi dan barulah pakcik-pakcik ini menyedari yang mereka berada di rumah jiran dan bukannya kedai mamak. Sisa teh tarik dihabiskan dan sambil mengucapkan terima kasih kepada tuan rumah pakcik-pakcik ini pun pulang kerumah untuk bekerja pada keesokan harinya. Memang sangat produktif. Dan situasi ini akan berulang lagi pada Khamis malam Jumaat minggu seterusnya. Dan seperti biasa juga malam Jumaat tiada pula aku berjumpa dengan hantu-hantu yang disiarkan di televisyen. Kemanakah mereka semua pergi?

p/s - Kenapa kat USA takde toyol? Dan kenapa tiada drakula di Malaysia?

5 comments:

Mantoll said...

mmg patut la man baung 2 kne ngumpat..g mancing x brajak..

Zaki Marsoha said...

give him some privacy.mungkin man baung perlukan ketenangan.

Mantoll said...

spt pergi tasik sorg2 x brajak?

Zaki Marsoha said...

haa yang tu memang patut diumpat.ada ke patut dibiarkan teman sensorang.lenkali berajak.

Anonymous said...

mana ko tau us x de toyol? mana ko tau msia xde dracula?