HUJAN PETANG

Petang itu, hujan renyai-renyai di luar rumah. Jamal duduk keseorangan di rumah. Setelah pulang dari kelas tengahari tadi, Jamal lebih senang bergolek-golek di atas katil kesayangan yang cadarnya sudah 3 bulan tak bertukar-tukar. Akibat kebosanan, Jamal memulakan BBM dengan gadis pujaannya, Anna.

" Hoi Anna gemok, buat apa tu ? " taip Jamal.

Begitulah cara Jamal. Walaupun dengan gadis pujaan sendiri, beliau tidak pernah berlembut. Baginya, lemah lembut hanyalah fiksyen didalam filem Ombak Rindu dan penuh dengan kepura-puraan. Setelah menunggu lebih kurang 5 minit, Blackberry Jamal berbunyi. Anna membalas BBM nya.

" Amboi, sedap cakap orang gemok. Tak sedar diri kee ? ", Anna membalas dengan comel.

Perbualan petang itu berlangsung lebih kurang 30 minit. Jamal berbunga-bunga keriangan. Walaupun ketika berhadapan, kedua-dua mereka diam seribu bahasa, di dalam BBM perbualan mereka sangat rancak. Dari persoalan serius seperti isu antarabangsa sehingga isu telur penyu, semua diluahkan dalam BBM.

Di akhir perbualan, Jamal tersentak apabila Anna secara tiba-tiba meluahkan perasaan kepada Jamal.

" Saya suka awak " pendek namun cukup bermakna buat Jamal.

Entah semangat angin monsun dari mana yang menyerap kedalam jiwa Anna, Jamal kurang pasti. Jamal berfikir lama. Beliau harus menyusun ayat sehabis baik supaya tetap nampak cool. Status beliau sebagai jejaka paling cool ketika jamuan makan malam kelas Tingakatan 4 Epsilon tahun lepas harus dikekalkan.

" Anna, sebenarnya saya sudah lama menimpan perasaan kat awak jugak. Tapi saya pendam kerana awak terlalu baik buat saya. Awak rajin pergi majlis ilmu, tapi saya suka tidur. " taip Jamal. Kemudian Jamal menekan butang " Send "

Setelah menunggu lebih kurang 10 minit, Blackberry Jamal berbunyi. Beliau berdebar-debar. Beliau membuka inbox nya.

" Jamal, maaf tadi adik lelaki saya main phone saya. Saya pergi kedai tadi, tak bawak phone. Phone awak, adik awak main jugak ke ni ?  "

Jamal terkesima. Didalam kepala beliau sudah berkira-kira untuk tidak mahu hadir ke sekolah besok.

No comments: